Salah seorang Tabiin yang terhormat. Beliau digelarkan dengan gelaran Khulafa' Ar-Rasyidin yang kelima kerana beliau memerintah sama sebagaimana pemerintahan Khulafa'Ar-Rasyidin .Beliau memegang teraju pemerintahan selepas Sulaiman bin Abdul Malik. Muhammad bin Ali bin Al-Husin rahimahullah berkata tentang beliau: "Kamu telah sedia maklum bahawa setiap kaum mempunyai seorang tokoh yang menonjol dan tokoh yang menonjol dari kalangan Bani Umaiyyah ialah Umar bin Abdul Aziz, beliau akan dibangkitkan di hari kiamat kelak seolah-olah beliau satu umat yang berasingan."
Kehidupan beliau menuntut ilmu:
Umar bin Abdul Aziz menuntut ilmu sejak beliau masih kecil, beliau sentiasa berada di dalam majlis ilmu bersama-sama dengan orang-orang yang pakar di dalam bidang fekah dan juga ulama-ulama. Di dalam usia beliau, beliau pernah memegang teraju pemerintahan di Madinah beberapa ketika.
Pelantikan beliau sebagai Khalifah:
Beliau dilantik menjadi Khalifah selepas kematian Sulaiman bin Abdul Malik tetapi beliau tidak suka kepada pelantikan tersebut. Lalu beliau memerintahkan supaya memanggil orang ramai untuk mendirikan sembahyang. Selepas itu orang ramai mula berpusu-pusu pergi ke masjid. Apabila mereka semua telah berkumpul, beliau bangun menyampaikan ucapan. Lantas beliau mengucapkan puji-pujian kepada Allah dan berselawat kepada Nabi s.a.w kemudian beliau berkata: "Wahai sekalian umat manusia! Aku telah diuji untuk memegang tugas ini tanpa meminta pandangan daripada aku terlebih dahulu dan bukan juga permintaan daripada aku serta tidak dibincangkan bersama dengan umat Islam. Sekarang aku membatalkan baiah yang kamu berikan kepada aku dan pilihlah seorang Khalifah yang kamu reda. Tiba-tiba orang ramai serentak berkata: Kami telah memilih kamu wahai Amirul Mukminin dan kami juga reda kepada kamu. Oleh yang demikian perintahlah kami dengan kebaikan dan keberkatan. Lalu beliau berpesan kepada orang ramai supaya bertakwa, zuhud kepada kekayaan dunia dan mendorong mereka supaya cintakan akhirat kemudian beliau berkata pula kepada mereka: "Wahai sekalian umat manusia! Sesiapa yang taat kepada Allah, dia wajib ditaati dan sesiapa yang tidak taat kepada Allah, dia tidak wajib ditaati oleh sesiapapun. Wahai sekalian umat manusia! Taatlah kamu kepada aku selagi aku taat kepada Allah di dalam memimpin kamu dan sekiranya aku tidak taat kepada Allah, janganlah sesiapa mentaati aku". Setelah itu beliau turun dari mimbar.
Peristiwa yang berlaku di antara beliau dengan anak beliau semasa memegang teraju pemerintahan:
Umar pulang ke rumah kemudian beliau masuk ke tempat tidurnya. Sebelum sempat beliau membaringkan badan, tiba-tiba anaknya Abdul Malik masuk berjumpa dengan beliau. Pada masa tersebut anak beliau berumur 17, kemudian anak beliau berkata: "Apakah yang kamu ingin lakukan wahai Amirul Mukminin?" Lalu Umar menjawab: "Anakku! Aku ingin menghilangkan kepenatan seketika kerana aku terasa terlalu letih." Selepas itu Abdul Malik berkata: "Kamu ingin menghilangkan kepenatan sebelum kamu mengembalikan barang-barang yang diambil secara zalim kepada pemilik asalnya, wahai Amirul Mukminin?" Lantas Umar menjawab: "Anakku! Kelmarin aku telah berjaga malam untuk menyelesaikan permasalahan yang berkaitan dengan bapa saudara kamu, Sulaiman, nanti apabila tiba waktu Zuhur, aku akan mendirikan sembahyang bersama-sama dengan orang ramai dan Insya Allah aku akan mengembalikan barang-barang yang diambil secara zalim kepada pemilik asalnya." Seterusnya Abdul Malik berkata lagi: "Siapakah yang dapat menjamin bahawa kamu akan terus hidup sehingga ke waktu Zuhur, wahai Amirul Mukminin?!" Mendengar kata-kata tersebut Umar terus bangkit lalu beliau cium dan peluk anaknya kemudian beliau berkata: "Segala puji bagi Allah yang telah melahirkan seorang anak dari tulang salbi aku yang boleh membantu aku di dalam perkara agama aku." Setelah itu beliau memerintahkan supaya memanggil orang ramai dengan berkata: "Sesiapa yang barang-barang mereka pernah diambil secara zalim, sila laporkan." Kemudian Umar mengembalikan barang-barang yang diambil secara zalim kepada pemilik asalnya"
Keadilan beliau:
Umar rahimahullah pernah menghimpunkan sekumpulan ahli fekah dan ulama kemudian beliau berkata kepada mereka: "Aku menghimpunkan kamu semua untuk bertanya pendapat tentang perkara yang berkaitan dengan barangan yang diambil secara zalim yang masih berada bersama-sama dengan keluarga aku?" Lalu mereka menjawab: "Wahai Amirul Mukminin! Perkara tersebut berlaku bukan pada masa pemerintahan kamu dan dosa kezaliman tersebut ditanggung oleh orang yang mencerobohnya. " Walau bagaimanapun Umar tidak puas hati dengan jawapan tersebut sebaliknya beliau menerima pendapat daripada kumpulan yang lain termasuk anak beliau sendiri Abdul Malik yang berkata kepada beliau: "Aku berpendapat bahawa ia hendaklah dikembalikan kepada pemilik asalnya selagi kamu mengetahuinya. Sekiranya kamu tidak mengembalikannya, kamu akan menanggung dosa bersama-sama dengan orang yang mengambilnya secara zalim." Umar berpuas hati mendengar pendapat tersebut lalu beliau mengembalikan semula barangan yang diambil secara zalim kepada pemilik asalnya.
Kematian beliau:
Pemerintahan beliau hanya berjalan selama beberapa ketika iaitu tidak melebihi dua tahun setengah sahaja. Kemudian beliau meninggal dunia dan kembali kepada Tuhannya dalam keadaan berlaku adil kepada rakyatnya dengan menjalankan pemerintahan sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah s.w.t.
Kita sesungguhnya sebagai insan, adalah makhluk yang sangat lemah. Allah s.w.t. sendiri menjelaskan hakikat ini dalam firmanNya yang bermaksud ; “dan manusia dijadikan bersifat lemah” [Surah An-Nisaa’ ayat 28].. Lemahnya seorang manusia itu sehingga ia pada bila-bila masa sahaja terdedah dengan kesilapan dan kesalahan. Bila-bila masa sahaja… dan sesiapa sahaja… termasuklah seorang daie itu sendiri.
Catatan saya kali ini adalah sebagai muhasabah kita bersama khususnya para duat atau daie ilalLah. Antara bencana besar yang sangat berisiko menimpa kita sebagai daie, murabbi, ketua, pemimpin atau sesiapa sahaja yang memiliki kelebihan atau kedudukan ialah bencana EGO.
Lantaran kita sahaja yang sering membimbing dan mendidik, memimpin dan menunjuk, sering menyampaikan nasihat dan bertazkirah. . ia boleh menimbulkan sejenis penyakit sampingan yang terkadang tidak disedari kecuali oleh mereka yang mendapat taufik Allah s.w.t. iaitu penyakit sukar menerima teguran, nasihat mahu pun kritikan.
Secara lisan memang mudah untuk seorang yang telah memiliki kedudukan tertentu di mata manusia untuk menyatakan bahawa “kita mestilah boleh menegur dan ditegur!” namun, secara hakikatnya Allah s.w.t. sahaja yang tahu bagaimana sukarnya membuang bisikan mazmumah ketika diri kita ditegur dan dikritik.Di antara kuman atau virus biasa yang akan mendampingi kita (daie, murabbi, qiyadah dsb) tatkala ditegur, dinasihati ataupun dikiritik ialah ;
Sukar menerima kesilapan dan kesalahan yang dikritik
Mencari justifikasi untuk membenarkan atau mempertahankan kesalahan tersebut
Segera berpaling kepada kelemahan dan keburukan yang ada pada si penegur
Mempertahankan kesalahan sendiri dan memburukkan peribadi si penegur
Kuman-kuman dan virus tersebutlah sekiranya tidak dihapuskan dengan segera akan mendedahkan kepada situasi yang lebih buruk sehingga membawa kepada terkoyaknya persaudaraan Islam dan timbulnya bibit-bibit permusuhan.
Bagaimanakah cara untuk mencegah diri dari ditimpa oleh risiko penyakit jiwa yang merbahaya ini? Di antara tips nya ialah :
Sewaktu menerima kritikan dan teguran di atas kesalahan yang memang kita lakukan, berfikirlah dengan dengan akal dan jiwa yang waras, tidak emosional dan dikuasai perasaan.
Berusaha melihat sesuatu dengan berjiwa besar dan berpandangan luas (big picture). Sekiranya timbul perasaan malu dan jatuh maruah ketika ditegur, yakinkan diri dengan segera bahawa orang yang berlapang dada dengan teguran akan lebih dihormati.
Segera bersangka baik bahawa si penegur yang menasihati kita tersebut sebenarnya sangat sayang akan kita sehingga ia sangat berharap perubahan yang positif dari tegurannya, bukan merendahkan kita.
Anggaplah bahwa kejadian ditegur atas kesilapan ini adalah cara Allah s.w.t. mendidik kita secara langsung. Allah sangat sayang kepada kita sehingga ditakdirkan ada orang yang berani menegur dan memperbaiki kesilapan kita. Nikmatilah tarbiyah Allah ini..
Bersyukur lantaran ada orang yang menegur agar kita tidak semakin leka, lalai dan terseleweng. Bayangkan jika kita terus di atas jalan kesilapan tersebut.. bagaimana natijahnya?
Ingatlah bahawa Rasulullah s.a.w. juga ditegur oleh Allah s.w.t. dalam peristiwa bersama Abdullah bin Ummi Makhtum yang buta. Tatkala Rasulullah s.w.t. sibuk melayani kalangan pimpinan dan pembesar kafir Quraisy sehingga merasa agak tidak selesa dengan kedatangan Sahabat yang buta lagi miskin ini datang untuk meminta pengajaran. Allah s.w.t. lantas menegur Nabi s.a.w. di atas perkara tersebut. Selepas turun surah ini, Rasulullah s.a.w. terus menyebarkannya agar dijadikan iktibar kepada umat yang lain. Dan jika Baginda bertemu dengan Abdullah bin Ummi Makhtum, baginda akan menyapanya dengan berkata: " Selamat bertemu dengan orang yang menyebabkan aku dikecam oleh Tuhanku". Inilah tarbiyah Allah s.w.t.
Inilah yang ditunjukkan pemimpin Islam selepas era pasca nabawi sebagai menterjemahkan amalan dan sunnah Rasulullah SAW. Saidina Abu Bakar al-Siddiq umpamanya, dalam ucapan sulungnya selepas dilantik sebagai khalifah meminta umat membetulkannya jika dia melakukan penyelewengan. Kata beliau, “andainya aku melakukan kebaikan, bantulah; tetapi andainya aku melakukan kesalahan, perbetulkanlah aku… patuhilah aku selama aku mentaati Allah, tetapi andainya aku sudah tidak mentaati Allah, kamu tidak perlu mematuhi aku lagi…”
Khalifah Sayyidina Umar al-Khattab juga berlapang dada menerima teguran daripada seorang wanita berkenaan saranan beliau supaya kadar mas kahwin yang diletakkan oleh pihak pengantin perempuan haruslah rendah kadarnya. Wanita berkenaan menempelak pandangan Khalifah dan menegaskan bahawa sebarang penetapan kadar mas kahwin sememangnya hak pengantin perempuan dan ia tidak sepatutnya dipertikaikan. Khalifah tidak menganggap teguran tersebut sebagai perkara yang memalukan bahkan menegaskan dengan kata-katanya, "Perempuan ini benar dan Umar telah bersalah". Penegasan Khalifah seiring dengan doa beliau sebagai seorang pemimpin yang menyebut sebagai, "Semoga Allah merahmati seseorang yang menunjukkan kepadaku tentang keaiban diriku".
Jika Rasulullah s.a.w. juga boleh ditegur, para sahabat besar juga bersedia ditegur.. siapalah kita untuk membesarkan diri (ego) dari menerima teguran??? Firman Allah S.W.T. :
"Dan apabila orang-orang yang apabila ia melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri mereka sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon keampunan terhadap dosa-dosa mereka. Dan siapakh lagi yang dapat mengampuni dosa-dosa mereka selain dari Allah. Dan mereka tidak meneruskan perbuatan keji tersebut sedang mereka mengetahui. Mereka itu balasan mereka keampunan dari Tuhan mereka dan balasan syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai yang kekal mereka di dalamnya, itulah sebaik-baik pahala bagi orang-orang yang beramal."[Surah Ali 'Imran: ayat 135-136]
[sumber artikel diambil dari http://hazmidibok. blogspot. com/]